Pages

ASET KOPERASI RM117 BILION PERLU DITAMBAH

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, bagi menjayakan perkara tersebut, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) perlu memainkan peranan dalam melihat potensi-potensi yang wujud ketika ini.

Jelas beliau, langkah itu termasuk memikirkan kaedah terbaik bagi melonjakkan jumlah aset terkumpul tersebut agar dapat terus memperkukuhkan ekonomi negara serta sektor koperasi.

“Kita perlu lihat dari segi keseluruhan dalam peruntukan perundangan tentang bagaimana aset yang ada ini boleh dipergunakan demi masa depan dan memperkukuhkan ekonomi negara serta koperasi itu sendiri.

“Aset terkumpul bernilai RM117 bilion ini menjadi satu angka besar tetapi ini tidak bermakna boleh digunakan untuk kepentingan kita. Kalau gabungkan semua, satu kekuatan kepada sektor koperasi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Ramah Mesra Menteri Bersama Warga SKM dan Gerakan Koperasi di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dan Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Lamien Sawiyo.

Sementara itu, Hamzah menjelaskan, pihaknya juga sedang mengkaji pelaksanaan penggabungan dan pengambilalihan (M&A) terhadap koperasi-koperasi yang kurang berjaya dalam sektor perniagaan.

“Yang penting bukan kuantiti tetapi kualiti koperasi. Koperasi yang lemah ini kita akan melihat dan menilai semula di mana salahnya, apakah mereka ini tidak faham dalam menceburi arena ekonomi untuk mencari peluang-peluang yang boleh mereka ambil,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah memberitahu, kementerian menyasarkan seramai 30,000 orang akan membanjiri Hari Koperasi Negara yang akan berlangsung 14 hingga 16 Ogos ini di Kuching, Sarawak.

Beliau berkata, sambutan dengan tema ‘Satu untuk Semua, Semua untuk Satu’ itu, bertujuan mempamerkan peranan penting sektor koperasi dalam menaikkan ekonomi semua lapisan masyarakat di negara ini.

Hamzah menambah, selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN ketika ini, Hari Koperasi Negara turut melibatkan wakil koperasi dari negara-negara rantau ini.

Katanya, antara negara ASEAN yang terlibat termasuk Thailand, Indonesia dan Brunei yang masing-masing telah menghantar penyertaan pada sambutan berkenaan.

“Penyertaan negara ASEAN ini melambangkan negara-negara anggota mengakui kita akan menjadi satu komuniti ASEAN. “Kita dilihat dapat mencapai kejayaan lebih baik sekiranya semua koperasi dapat memainkan peranan dengan menggabungkan kerjasama antara satu sama lain di rantau ini,” katanya.

mnonline

Phasellus facilisis convallis metus, ut imperdiet augue auctor nec. Duis at velit id augue lobortis porta. Sed varius, enim accumsan aliquam tincidunt, tortor urna vulputate quam, eget finibus urna est in augue.

No comments:

Post a Comment